KUALA LUMPUR: Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) mendesak kerajaan mengkaji semula dan menangguhkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi individu lengkap vaksinasi COVID-19 yang mula berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan, gabungan itu yang terdiri daripada 50 pertubuhan mewakili pakar dan petugas sektor kesihatan memberi amaran, bahawa langkah melonggarkan sekatan itu adalah terlalu awal dan berbahaya.

“Kami memahami bahawa tiada masa yang benar-benar selamat untuk melonggarkan sekatan bagi individu lengkap divaksin. Namun, keputusan ini adalah pramatang ketika ini atas empat sebab termasuk kadar vaksinasi negara yang masih rendah serta pemberian vaksin yang tidak sama rata dari negeri ke negeri.

“Hanya 27 peratus populasi negara merangkumi setiap lapisan umur sudah melengkapkan vaksinasi, dan ini tidak termasuk migran tanpa dokumen.

“Chile hanya melonggarkan sekatan selepas 50 peratus populasi lengkap divaksin, manakala Singapura menyasarkan kelonggaran sekatan selepas 70 peratus populasi divaksinasi," kata kenyataan itu.

Tambah MHC, hanya lima negeri dan kawasan yang mencatatkan kadar vaksinasi lengkap lebih 27 peratus iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis dan Lembah Klang.


MHC turut merujuk kepada sektor kesihatan negara yang tertekan serta penularan varian Delta yang dikhuatiri paling dominan berbanding varian lain.

“Kami masih menyaksikan ribuan kes harian dan penggunaan unit rawatan rapi (ICU), wad hospital, Jabatan Kecemasan dan pusat kuarantin melebihi kapasiti.

“Butiran indikator-indikator ini tidak boleh diakses orang ramai dan perlu menjadi panduan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Justeru itu, MHC menyarankan agar kelonggaran SOP ditangguhkan sehingga negara memenuhi beberapa kriteria tertentu yang ditetapkan oleh pakar-pakar kesihatan.

Antara kriteria yang dicadangkan ialah lebih 70 peratus populasi keseluruhan lengkap vaksinasi; kadar penggunaan katil ICU bagi pesakit COVID-19 kurang 90 peratus; dan jumlah kes positif harian kurang 4,000 yang merangkumi kurang lima peratus daripada ujian saringan positif.

“Kami menggesa kerajaan supaya mendedahkan bukti dan unjuran yang menjadi asas kepada keputusan mereka kerana rakyat akan tertanya-tertanya sama ada kita membuat keputusan berdasarkan bukti.

“Walaupun pandemik ini bersifat dinamik, jika nilai ambang PPN berubah secara terlalu kerap serta tanpa penjelasan yang munasabah, ini mungkin menimbulkan kebimbangan bahawa keputusan yang diambil berasaskan politik berbanding bukti kukuh," katanya.

MHC terdiri daripada 50 pertubuhan berkaitan perubatan serta beberapa pakar kesihatan termasuk bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.